Friday, October 1, 2010

KEMATIAN TERNAKAN BUKAN BERERTI KEGAGALAN

1/10 - Lama juga saya tidak menulis artikel baru. Bukan tiada apa-apa nak ditulis, cuma menanti saat dan ketika yang sesuai. Setelah saya mengikuti banyak blog-blog penternak sejak saya berkecimpung didalam penternakan, saya dapati pada peringkat awalnya penternakan ayam kampong begitu mendapat sambutan dari penternak-penternak muda. Banyak blog-blog baru dibuka samada oleh penternak baru atau yang dah lama memulakan penternakan. Keadaan ini menyebabkan ramai penternak baru tertarik untuk mencuba melibatkan diri didalam penternakan ayam kampong asli atau kacuk bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Bagi penternakan ayam kacuk, memulakan tidak sukar kerana ada jalan pintas iaitu dengan membeli anak-anak ayam kacuk dari pembekal komersil samada sedikit-sedikit atau dalam jumlah yang besar. Bagi penternakan ayam kampung asli pula, agak sukar sedikit. Mereka terpaksa memulakan penternakan dengan membeli induk-induk bagi mendapatkan anak melalui telor yang di eram secara semulajadi atau oleh incubator atau membeli anak-anak dari penternak yang telah 'established'.

Bagi penternak yang sangat baru, jarang sekali mereka akan menggunakan incubator untuk penetasan anak kerana kurang yakin dengan incubator itu sendiri atau kurang yakin dengan pengetahuan yang ada. Maka timbul ilham oleh beberapa penternak yang berpengalaman mengadakan kelas atau kursus teknik-teknik penternakan ayam kampong asli. Kursus yang ada dijadikan sebagai jalan pintas untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan penternakan oleh bakal-bakal penternak atau yang baru memulakan penternakan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Saya sendiri termasuk dalam kumpulan seperti mereka, bezanya saya tidak berkursus langsung. Tetapi saya sangat banyak meluangkan masa mengkaji dan membaca blog-blog dari dalam atau luar negara untuk mendapatkan seberapa banyak pengetahuan sebagai persediaan sebelum memulakan penternakan ayam kampong. Lebih dua bulan pada setiap hari saya membaca blog-blog dan membuat catitan atau cetakan perkara-perkara yang menarik perhatian saya.

Sebenarnya saya telah mencuba menternak ayam kacuk sebanyak 200 + 200 ekor sebagai ujikaji untuk menimba pengalaman sebelum memulakan penternakan ayam kampong asli. Tanpa ilmu pengetahuan asas tentang penternakan, saya yakinkan diri untuk mencuba. Pada peringkat awal dari tarikh tiba anak hingga umur 6 minggu semasa anak ayam masih didalam brooder dan reban asuh, semua anak-anak ayam sehat walafiat, tiada masalah pada peringkat ini. Terlalu jarang berlaku kematian. Selepas turun tanah, anak-anak ayam mula menunjukkan masalah sedikit demi sedikit. Maklumlah, tiada pengalaman. Masalahnya bermula apabila saya menganggap anak ayam pandai membawa diri untuk masuk reban diwaktu senja/malam atau mencari perlindungan diwaktu hujan. Dengan reban yang terbuka, tanpa dinding, kesejukan pada malam hari tidak dapat ditanggung oleh anak ayam ini yang tidor tak tentu tempat. Bersepah-sepah secara berkumpulan untuk memanaskan badan. Inilah titk tolak ayam mula tak selera makan, murung, sakit, kepak jatuh, bulu kusut dan lain-lain. Akibatnya, ayam mula mati se ekor demi se ekor oleh pelbagai sebab yang tidak saya fahami langsung pada ketika itu. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memperbaiki keadaan samada bertanya pada yang pandai atau memberi ubat/antibiotik. Saya hanya mengutip bangkai-bangkai ayam yang mati setiap hari dan membuang/bakar sehinggalah tak banyak yang tinggal. Akhir sekali, seingat saya, mungkin tinggal dalam 100 ekor saja dan dapat dijual sedikit sahaja manakala bakinya saya biarkan sehingga dewasa untuk dijadikan induk. Tidak banyak yang mencapai umur dewasa sehingga menjadi induk, mungkin dalam 15 ekor sahaja. Gambar saya (memakai T-Shirt Biru) pada sebelah kanan memegang anak ayam dikelilingi oleh anak-anak ayam (yang masih belum bermasalah) berlatarbelakang reban pertama adalah kenangan pertama menjadi penternak ayam. Pasaran juga bermasalah, sangat sukar menjual ayam kacuk, peraih ayam tidak berminat kerana tidak dimakan oleh orang Cina. Mereka kenal sangat ayam kacok dengan melihat rupa sahaja. Kalau diambil, harganya pula sangat murah, tidak berbaloi dengan perbelanjaan makanan yang diberi.

Pengalaman menternak anak ayam kacok dijadikan pengalaman pahit untuk dikenang dan sebagai tauladan kepada diri sendiri. Saya tidak berhenti begitu sahaja. Setelah membaca blog-blog penternakan lebih 2 bulan, saya membuat keputusan untuk menternak ayam kampong asli berdasarkan permintaannya yang tiada had dan sentiasa kekurangan bekalan dengan harga jualan di reban yang amat menarik. Selain dari itu, keputusan ini saya buat adalah kerana untuk memulakan penternakan ayam kampong, modalnya tidak besar sangat berbanding ayam daging yang memerlukan modal yang sangat besar. Keperluaan asasnya tidak lah membebankan dan boleh dipertingkatkan sedikit demi sedikit mengikut keperluan dan peruntukan kewangan yang ada. Sebagai permulaan, oleh kerana terlalu baru dalam penternakan, saya suruh anak tuan tanah belikan induk dari orang kampong. Tetapi saya kurang puas hati kerana induk betina selalunya kecil-kecil(kacuk ayam hutan). Ada juga saya beli dari penjual ayam di gerai yang menjual ayam tetapi hampir sama juga keadaannya dimana ayam-ayamnya tidak besar sangat, maklumlah ayam dara. Saya mula merayau dari kampong ke kampong, dapat lah juga sehingga 20 ekor baka yang besar. Saya tidak mengira sangat dari segi harga kerana memang susah nak dapat ayam terutamanya bapak ayam yang dah jagoh. Nak beli pun orang tak nak jual. Nak jual pula, ayam tidor atas pokok. Memang susah nak kumpul stok induk. Saya mula berkenalan dengan Saiful Citypull dan dari dialah saya mula mengenali incubator dan juga memberi nama pembekal induk ayam iaitu Cikgu Ajil - Ayam Kampong Opah. Terima kasih kepada mereka berdua kerana dari saat itulah saya semakin yakin untuk menternak ayam kampong. Dua kali saya membeli induk dari Cikgu Ajil berjumlah lebih kurang 60 ekor. Saat yang paling menyedihkan dan membuat saya sangat marah pada anjing adalah apabila 3 ekor ayam jantan baka baik dan 6 ekor betina yang dah bertelor mati dibaham anjing pada suatu malam. Ketika itu, pagar reban belum siap sempurna, dan musim anjing-anjing bermaharajalela sehingga orang kampong tak tahan melihat ayam mereka asyik dibaham anjing. Namun pada ketika ini, semua anjing-anjing tu dah jadi arwah, tak tahu siapa yang bunuh semuanya dan tak tinggal baka. Syukurlah sekarang tiada lagi pemangsa itu. Sebab itulah, seluruh kebun itu saya pagar dengan dawai dan net orkid.

Berbalik semula kepada tajuk penternakan, saya dapati sebelum serangan sampar menyerang seluruh semenanjung, sudah mula saya dapati banyak bolg-bolg penternak tempatan tidak aktif lagi. Seolah-olah reban dan ternakan mereka telah berkubur dan kebanyakan mereka adalah merupakan penternak-penternak muda yang baru melibatkan diri. Kalau dilihat dari fizikal, besar juga modal yang telah dilaburkan. Ada ternakan yang diserang musang, monyet, biawak, anjing, ular dan tikus. Ada juga yang bungkus kerana diserang musang berambut hitam. Begitu juga sejak serangan sampar melanda akhir-akhir ini, satu demi satu blog-blog penternak mula tidak aktif atau 'up to date'. Mungkin mereka juga telah mengundur diri dari penternakan secara perlahan-lahan setelah mendapati penternakan ini tidak menguntungkan sebagaimana diharapkan. Namun demikian, saya dapati penternak-penternak yang veteran, mereka kekal bertahan dan semakin berkembang maju dari segi bilangan ternakan atau jumlah reban yang baru dibina. Mungkin golongan ini adalah golongan yang telah melalui pelbagai onak dan duri, serta ranjau didalam penternakan. Sebab itu mereka kekal sehingga ke hari ini.

Tujuan saya terpanggil untuk menulis tajuk ini adalah untuk menyampaikan pandangan saya berkaitan semangat juang yang perlu ada untuk maju dan terus berjaya. Terlebih dahulu saya ingin memaklumkan, sebenarnya saya juga belum berjaya dan jauh dari berjaya serta dalam proses menimba pengalaman. Tetapi saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman dan mengingatkan diri sendiri. Semuga kita sama-sama dapat saling membantu rakan-rakan ternak yang telah terkena serangan sampar akhir-akhir ini atau kepada rakan-rakan yang telah mengundurkan diri. Saya sangat simpati dengan mereka dan sangat faham perasaan yang melanda mereka. Dapat saya bayangkan perasaan mereka apabila melihat ternakan yang disayangi hilang dalam masa yang singkat, selain wang ringgit , masa dan keringat yang telah dikorbankan. Justeru itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak rakan-rakan ternak bangun semula. Jangan pandang ke belakang, jadikan sejarah sebagai panduan untuk masa hadapan. Seseorang tidak akan berjaya jika asyik memandang kebelakang. Kumpulkan semangat, keazaman dan kekuatan fizikal dan mental untuk bangun dan mencuba semula. Kalah sekali tidak bermakna kalah selama-lamanya. Biar berundur sementara, tetapi berundur untuk mengatur strategi baru. Jadikan kegagalan yang lalu untuk mencari kekuatan baru. Banyak orang-orang yang telah berjaya dimasa lampau dan masa kini berasal dari orang yang telah gagal beberapa kali. Tetapi mereka tidak menjadikan kegagalan untuk berhenti mencuba. Mereka jadikan kegagalan sebagai pendorong untuk mengejar kejayaan. Jangan kita sangka, orang cina kalau buat sesuatu, semuanya berjaya. Mereka juga manusia biasa macam kita. Mereka juga ada yang gagal dalam perniagaan/pelaburan yang diterokai. Tetapi mereka tidak jemu mencuba, itu saja bezanya.

Ayuh....bangunlah. Kumpulkan kekuatan, bangun sekali lagi. Jangan mengalah. Semuga usaha anda semua akan berjaya suatu hari nanti. Kejayaan yang kita lihat pada orang lain sebenarnya tidak terjadi dalam masa yang singkat. Mereka yang berjaya dari bawah, akan kekal berada diatas kerana mereka mempunyai asas yang kukuh dari segi pengetahuan dan pengalaman. Pengetahuan boleh dicari....tetapi pengalaman harus dilalui. Pengetahuan tanpa pengalaman, sukar untuk mencapai kejayaan. Walau bagaimanapun, sebelum memulakan penternakan, persiapkan diri dengan secukupnya ilmu pengetahuan yang asas berkaitan teknik-teknik penetasan, pemeliharaan, kawalan/pencegahan penyakit dan ubat-ubatan. Jangan sesekali mengambil mudah terhadap kebersihan reban. Itulah punca sebenar kematian ternakan kita. Terlalu banyak penyakit ayam, tetapi ada beberapa penyakit yang berkait rapat dengan kebersihan reban. Penyakit inilah yang sangat merbahaya kepada ternakan dan akan membunuh ternakan kita secara perlahan atau dengan mengejut. Kita tidak boleh salahkan penyakit tersebut, tetapi salahkan diri kita sendiri. Ini adalah kerana, kita yang mengundang penyakit tersebut ke reban kita.

Kita sering tersalah anggap kononnya ayam kampong tahan lasak. Ini sama sekali tidak benar kecuali didalam beberapa perkara tertentu. Namun tahan lasaknya ayam kampong itu tidak terjadi pada kesemuanya dan setelah melalui saringan hidup, hanya beberapa ekor sahaja yang berjaya mendapat immuniti semulajadi dan meneruskan kehidupan. Bagi ayam yang diternak secara lepas bebas, ayam ini mempunyai naluri tentang keselesaan, kebersihan dan keselamatan. Mereka akan mencari tempat tidor yang bersih dan kering, selamat dari ancaman pemangsa seperti diatas dahan pokok atau pada palang kayu didalam reban. Kita juga dapati bahawa ayam ini suka tempat yang tinggi dan ini ada kaitan dengan faktor keselamatan dan kebersihan. Dari sudut keselamatan, ketinggian juga memberikan mereka perasaan selamat. Manakala dari sudut kebersihan yang berkait rapat dengan kesehatan, ketinggian memberikan keselesaan dan kebersihan dari gas ammonia. Gas ammonia yang keluar dari najis ayam adalah gas berat yang beracun dan ia akan memenuhi ruang lantai atau pada paras tanah. Dari sudut kesehatan pula, ayam-ayam akan mencari nutrition yang diperlukan dengan memakan herba-herba seperti rumput sebagai sumber vitamin dan binatang kecil seperti cacing dan serangga kecil sebagai sumber protin untuk membina daging dan membina antibody secara semulajadi.

Dari pemerhatian kehidupan semulajadi ayam ini, kita perlu melakukan sesuatu untuk meniru keperluan ayam-ayam ini jika hendak menternak secara kecil, sederhana atau besar terutama didalam reban yang dikurung sepenuh masa. Makanan yang baik kandungan nutritionnya, vitamin tambahan melalui minuman sebagai 'supplement' hendaklah diberi secara konsisten. Pemberian vaksin dan antibiotik untuk melindungi dari penyakit-penyakit berbahaya hendaklah mengikut jadual atau mengikut keperluan.

Akhir sekali, saya mengharap semua rakan ternak yang telah patah semangat, cuba dan terus mencuba lagi . Ia harus melalui usaha yang gigih, semangat yang waja dan minat yang mendalam.

'JIKA ADA KEMAHUAN, PASTI ADA JALAN'
'YANG BULAT TIDAK DATANG MENGGOLEK, YANG PIPIH TIDAK DATANG MELAYANG'
'PLAN WHAT YOU DO, DO WHAT YOU PLAN'
'KALAU TAK DIPECAH RUYUNGNYA, MANAKAN DAPAT SAGUNYA'

Selamat Maju Jaya.
Wassalam

Firmah Allah maksudnya:

'TIDAK BERUBAH NASIB SESUATU KAUM, KECUALI KAUM ITU MENGUBAH NASIBNYA SENDIRI'

2 comments:

  1. saya setuju dengan saudara.. walau apa jua yg terjadi tabahkan hati, kuatkan semangat dan jgn putus asa insyallah pasti ada jalan untuk berjaya..

    ReplyDelete
  2. hhhhuhu,,betul tu bang,..nak biakkan banyak mane pon boleh..tapi nak maintain bag besar tu masalah cikte.kui2

    ReplyDelete