Sunday, December 4, 2011

KEMALANGAN JATUH MOTOR LANGGAR ANJING

4/12/2011 - Semalam(3/12/2011 - Sabtu) adalah hari yang malang bagi diri saya. Saya jatuh motor selepas melanggar anjing dalam perjalanan dari rumah ke tapak projek di Morib Goldcoast. Lebih kurang pukul 10 pg, saya bertolak dari rumah ke Morib menaiki motor Naza Blade 250 kepunyaananak saya. Dia nak pakai motor kawasaki ER6 saya nak melawat perkahwinan kawannya. Selepas isi minyak di Petronas Sungai Rambai, saya tersedar telefon bimbit tertinggal dirumah. Dalam perjalanan, hati saya berbelah bagi samada anak ambil telefon tersebut atau tinggalkan saja. Akhirnya saya buat keputusan untuk mengambil telefon kerana takut ada panggilan penting. Selepas ambil telefon dirumah, saya teruskan perjalanan. Didalam perjalanan kearah rumah emak saya, tiba-tiba anjing besar yang berada disebelah kanan jalan melintas, tepat dihadapan motor. Saya tidak dapat mengelak, terus langgar tepat pada rusuk dada anjing tersebut menyebabkan tayar belakang motor melambung apabila melanggar badan anjing yang besar dan ponggong saya beralih sebelah kanan tempat duduk. Motor masih stabil dalam keadaan tegak, tetapi punggung saya sudah beralih dan tergantung sebelah kanan serta kebawah. Saya cuba mengawal dan berusaha naik semula tetapi tidak terdaya kerana kedudukan tangan pada handle motor dan cara tunggangan motor sport serta punggung yang telah beralih keluar tidak mengizinkan saya untuk duduk dengan betul dan mengawal semula motor tersebut. Akhirnya saya membuat keputusan melepaskan motor dan menjatuhkan badan sebelah kanan. Saya mengelunggsur dalam keadaan mengiring kerana terdapat bag galas dibelakang saya menyebabkan kedua-dua tangan saya terhimpit oleh badan yang mengiring. Semasa mengelungsur diatas jalan dan diatas pasir dibahu jalan, saya sedar cermin helmet saya tertanggar(bulan fullface). Terus bangun selepas berhenti, terasa pipi kanan muka macam tergeser dengan jalan. Dibiarkan saja keadaan muka, saya terasa tangan pedih kerana luka-luka kecil akibat bergeser dengan jalan dan pasir. Saya lihat darah pekat mengalir agak laju pada ibu jari tangan kiri, ditekap pada peha seluar untuk memberhentikan pendarahan. Pedih ditempat luka dibelakang tapak tangan sudah terasa. Terfikir pulak dimana telefon, rupa2nya dah bertaburan diatas jalan...mula-mula jumpa badannya, kemudian bateri dan akhirnya cover belakang. Dalam usaha memasukkan bateri menggunakan tangan kanan, tangan kiri memegang badan telefon sambil darah mengalir didalam badan telefon. Masih banyak darah kering sehingga kini didalam telefon tersebut.

Beberapa saat selepas saya jatuh, sebuah kereta dipandu sepasang India berhenti dan memberi bantuan. Saya hanya minta hubungi isteri saya untuk memberitahu kemalangan tersebut, lokasinya dan saya akan keklinik berdekatan. Datang lagi seorang pemandu Melayu, memberikan bantuan. Saya minta tegakkan motor bersama lelaki India tersebut. Pemandu Melayu mengesa saya segera keklinik dan dia mebawa saya terus keklinik. Terima kasih saya ucapkan pada kedua-dua pemandu yang baik hati.

Setibanya diklinik, saya terus dibawa masuk untuk rawatan. Nurse membersihkan luka dengan Hidrogen Peroksida H2O2 untuk mengeluarkan kotor dan membunuh kuman selepas itu disapu dengan Iodine. Perrhhh pedihnya. Doktor melihat keadaan luka dan mendapati ibu jari kiri luka yang agak dalam dan terbelah kerana rantai jam tangan. Dia membuat keputusan untuk menjahit luka dengan 4 jahitan tetapi dengan bius. Saya diberi ubat tahan sakit, antibiotik dan ubat bengkak. Kos rawatan RM120 je.

Sampai dirumah selepas diambil oleh isteri dari klinik, saya berehat. Jiran sebelah menyapu luka dengan getah daun aloevera. Makan tengahari bersuap...kedua-dua tangan dah tak boleh guna. OKU sementara. Pedih luka mula terasa. Malam susah nak tidor kerana tak dapat meletakkan tangan dengan selesa supaya tidak sakit. Kekiri tak boleh, kekanan pun tak boleh. Dapat juga tidor akhirnya dalam keadaan entah macam mana. Siang hari, sakit tetap terasa dengan pedih dan perit kerana luka dan beransur kering. Memang baik aloevera tu. Asyik terkencing-kencing je sepanjang hari. Kaki kanan yang melecet dan pecah darah pada kulit bahagian lutu mula terasa sakit dan susah untuk berjalan. Tanggung je la....Jika saya pakai sarung tangan, kemungkinan luka ditangan dapat dielakkan atau sedikit saja. Mujur saya pakai jaket motor dengan padding serta helmet yang diikat kemas. Tiada sebarang luka pada lengan dan badan...tetapi jaket tersebut koyak dan berlubang-lubang pada beberapa tempat...itu tandanya, jika saya tak pakai jaket, pasti seluruh lengan kanan saya melelas luka kerana bergeser dengan jalan.

Yang menariknya, semasa anak saya datang keklinik ambil kunci motor dan helmet, anjing yang mati masih ada ditempat kemalangan. Tetapi semasa tiba ditempat kejadian untuk ambil motor, anjing tersebut dah lesap. Kabarnya telah diambil oleh orang Vietnam kerana mereka memang suka makan anjing. Kesian anjing tu...dah mati kena langgar, kena buat lauk pulak selepas tu.

Pada malamnya, saya teringat pada kamera Olympus saya. Puas dicari dirumah, tetapi tidak juga jumpa. Saya terkenang kenapa poket seluar kanan koyak besar, sedangkan tempat luka takde koyak pun. Baru saya tahu, punca koyak poket seluar adalah kerana kamera tersebut dipaksa keluar semasa berseser dengan jalan. Saya cari dengan anak-anak disepanjang jalan kawasan kemalangan, tetapi dah takde rezeki. Mungkin Bangla atau Miyamar yang berulang alik kerja dah terjumpa.

Keadaan motor Naza Blade 250 anak saya, patah side mirror kanan, patah brake depan, patah lampu isyarat kanan dan patah pedal brake belakang. Terdapat calar-calar pada beberapa bahagian pada fairing kanan. Belum tahu berapa kos pembaikan...mungkin mencecah ribuan ringgit termasuk cat. Mungkin claim insuran, tetapi takut lama sangat pulak. Mungkin repair sendiri selepas buat kajian harga alat ganti di Naza Shah Alam. Lepas repair, nak jual je motor tu. Dah tanya kat kedai Motor di pekan Kapar sebelum ini, harganya RM11,000 jika trade-in. Cadang nak pakai Yamaha XJ6(RM40k) atau Yamaha FZ6(RM60k).

Semasa kemalangan, saya hanya memandu selaju 60-70km/j. Mulalah saya terbayang bagaimanakah keadaan kecederaan jika kemalangan berlaku pada kelajuan melebihi 100km/j. Lebih-lebih lagi melebihi 140km/j. Pasti parah atau patah atau maut. Kali terakhir sekali saya cedera kerana jatuh motosikal adalah pada tahun 1982, semasa didalam Kampus UKM Bangi. Hanya cedera luka ringan pada lutut kiri.

Pengajarannya.....dimasa hadapan, saya akan pastikan saya pakai jaket, sarung tangan, helmet fullface, menunggang dengan lebih fokus dengan kelajuan selamat.

Beginilah rupa keadaan luka saya dan keadaan motorsikal.


Beginiah keadaan kerosakan pada motor saya. Patah lampu isyarat kanan, pedal brake depan, cermin sisi kanan dan pedal brake belakang serta calar-calar pada badan motor(fairing).

Begini pula kecederaan pada tangan saya. Tangan dah bengkak tetapi dah kering. Diambil gambar 30jam selepas kemalangan.

Tuesday, November 15, 2011

PROJEK PASANG ATAP LALANG BERMULA

15/11/2011 - Alhamdullillah, saya dapat membekal dan memasang atap lalang untuk projek 5 buah rumah contoh 1,2,3,3 dan 4 bilik di Morib Goldcoast Resort. Jumlah atap yang digunakan adalah 10 ribu keping dan aksesori bumbung. Ini adalah projek terbesar yang dilaksanakan untuk tahun 2011. Semuga dapat rezeki lagi hendaknya apabila rumah tersebut dapat dijual. Kabarnya sebanyak 50 rumah seperti itu akan dibina. Tetapi belum pasti saya dapat membekalnya. Jika ada rezeki dan dapat projek ini, saya pun rasa gerun untuk melaksanakannya kerana pemaju mengejar masa untuk siap cepat. Tetapi pemasangan atap ini memang kerja yang perlahan. Tetapi pekerja yang saya latih telah dapat 'rentak' dengan pencapaian lebih 20 meter persegi untuk 4 orang pekerja setiap hari.

Ini lah 2 rumah contoh yang sedang dibina. Yang ketiga sedang naik tiang. Yang ke-4 dan ke-5 akan dibina pada bulan Januari 2011. Kabarnya....harga rumah ini serendah RM1.18 ribu dan keatas.....wooow mahalnya.

Kerja pemasangan rumah sedang berjalan.

Rumah 2 bilik telah siap dipasang atap. Sebanyak 1000 keping atap digunakan.

Rumah 1 bilik sedang dalam pemasangan atap bumbung.Sebanyak 840 keping atap digunakan.


Rumah 3 bilik 33' x 62' sedang dalam pembinaan. Perlu atap 1700 keping.

My Ford Ranger....tetapi dah jadi kereta bawa pekerja sekarang ini. huhuhu...

Banner rumah bambu yang direntang sepanjang pagar di tatap projek. Kalau sangkut projek ini dan ada tempahan, ada bisness lagi la...masyukkkkk. Boleh ambil cuti tanpa gaji setahun.

Papan iklam utama didepan tapak projek. Projek yang besar dan mahal.....hanya untuk yang mampu sahaja.


Pasal ayam pula, musim cuti sekolah dah bermula. Ini bermakna, teruk la saya nak beli dedak untuk makanan ayam sehingga buka sekolah tahun depan. Anak-anak ayam dan banyak. Kali ini saya malas nak guna incubator sebab sebok sangat dengan pelbagai hal. Saya biarkan ibu-ibu ayam mengeram sendiri. Sekarang dah ada lebih 60 ekor anak-anak ayam dan dikurung didalam reban berpagar bersam ibunya. Musim hujan tidak bagus untuk anak-anak ayam bebas kerana kadang-kadang banjir kat reban. Peratusan penetasan oleh ibu adalah sangat cemerlang. Ibu-ibu lain dah mula bertelur dan ada yang mengeram. Ayam-ayam lain semakin membesar. Dah pandai makan rumput dan mengais tanah didalam kebun mencari makan sendiri. Begitulah kedaannya, memang sifat semula jadi ayam kampong. Ayam-ayam ni memang kenal saya....semua berterbangan dan berlarian kearah saya. Bunyi motosikal pun mereka kenal siapa punya. Ayam dah dididik, memang kenal tuannya.



Thursday, September 29, 2011

DAH PAKAI MOTOR BESAR KAWASAKI ER6F

29/9 - Alhamdullillah...tercapai sudah hasrat hati untuk memiliki motor besar seperti yang dihajati. Dapat beli dengan harga terbaik...Dah mula digunakan untuk pergi kerja. Cepat sampai...kalau pakai kereta perlu 45 minit, tapi pakai motor ni....20 minit je. Jaket armour dengan protector, helmet full face dan boot telah dibeli untuk digunakan secara harian...bukan untuk bergaya..tetapi keselamatan.

Wednesday, September 21, 2011

AYAM SAKIT LAGI DAN MOTOR BARU

21/9 - Selamat Hari Raya Aidil Fitri saya ucapkan kepada semua MUSLIMIN DAN MUSLIMAT. Alhamdullilah, semalam saya telah memindahkan 150 ekor anak ayam berusia 2-3 bulan kereban di ladang. Puncanya, di rumah dah banyak sangat lalat pada najis yang jatuh dibawah reban. Saya telah melapik lantai dengan kotak dan kertas surat kabar untuk elak lalat, tetapi dah memang perangai ayam suka mengekas, hancur semuanya dan jatuhlah najis ke tanah melalui jaring. Jadi, untuk mengatasi masalah dari berulang, saya telah meletak lapisan plastik dibawah sekali dan diikuti dengan surat kabar. Kekaslah lepas ini, memang tak bocor...'bocorproof'. Anak-anak yang masih kecil dipindahkan ke reban yang dilapik baru. Yang dah kosong akan dibersihkan kemudian.

Pada musim pembiakan akhir-akhir ini, saya ditimpa masalah yang tidak pernah berlaku sejak mula menceburi penternakan ayam.....masalah kematian selepas kelahiran sehingga umur 3 minggu. Setiap hari ada je kematian sehinga 2-4 ekor didalam brooder. Dulu saya memang ada baca ramai mengadu masalah untuk diselesaikan...tetapi tidak terjadi pada diri saya. Saya pun hairan. tapi ada kemungkinan tikus yang menjadi penyebabnya dan juga faktor benih yang kurang bermutu. Faktor benih adalah kerana semua telor adalah dari ibu muda yang pertama kali bertelor. Benih yang kurang bermutu punca anak-anak ayam lemah selepas penetasan. Tikus pun makan lah anak-anak ayam yang mati.

Reban saya baru saja reda dari serangan penyakit. Mula-mula kena, saya dah risau sangat...kena sampar lagi ke? Kematian anak ayam mula berlaku 1-2 ekor sehari. Anak-anak ayam tidak selera makan, tidak aktif, najis berkapur dan termenung. Langkah pertama, saya sembur reban dengan disinfectant, tak juga berkesan. Langkah kedua, beri antibiotik wide spectrum, masih ada kematian. Saya rujuk Ayam Opah...dia syorkan beri ubat cacing didalam minuman selama seminggu.....alhamdullilah, sekarang dah reda dan semua ayam kembali aktif semula dan mengejar minta makan. Kesan korban ........2 bapak, 6 ibu, 40 anak 2-4 bulan. Selain dari itu, ibu-ibu ayam juga macam merajuk, tak nak bertelor sehingga kini....mungkin terencat kejap agaknya....takpe lah, asalkan dah sehat, bersabar je la. Asalkan jangan semua mati macam tahun lalu......perhhhhhhh.

Berkaitan dengan cadangan saya nak beli motor besar, saya telah membuat kajian menyeluruh dari semua aspek seperti kesan kepada kewangan, kekerapan penggunaan, senggaraan/servis, alat ganti dan susut nilai. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli motosikal buatan Kawasaki Model ER6F second-hand dengan harga RM25 ribu, usia genap 12 bulan, milage 3000+. Jika ditakdirkan saya hilang minat, harga jualan semula tidak akan jatuh banyak. Saya pun dah pakai moto ini selama 2 bulan, pinjam kawan punya...akhirnya saya beli motor tu sebab dia dah beli Honda CBR900. Dia tak tahu nak buat apa dengan motor tu. Dia suruh saya beli je moto tu.

Inilah rupa standard motosikal ER6F



Cadangan untuk up-grade macam ni, kalau ada duit lebih.

Motor ni tak laju sangat, top speed 200 km/h je. 'Electronic cut-off' untuk keselamatan penunggang. Tapi pick-up dan handlingnya boleh tahan sedapnya. Senang ditunggang kerana model 'street-bike'. . Bukan direka untuk laju, kalau laju sangat, bergoyang badan oiii....saya dah try top speed. Insyallah, minggu depan dah boleh pakai la.....

SEKIAN UNTUK KALI INI, WASSALAM.

Wednesday, August 24, 2011

YANG MANA SATU, IDAMAN HATI

24/8 - Alhamdullilah, syukur kepada Allah. Petang semalam, semasa berehat menanti waktu berbuka, saya menerima panggilan telefon dari rakan yang recomment saya untuk bekal dan pasang atap lalang untuk Morib Goldcoast Resort. Rupa-rupanya di membawa perkhabaran gembira. Proposal dan sebut harga saya telah diterima dan di 'award' untuk membekal dan memasang atap lalang untuk 5 buah rumah contoh. Total project untuk bumbung tak lah banyak sangat....tapi jika saya kekal membekal dan memasang atap untuk 50 unit lagi selepas 'launching', barulah rasa cukup puas. Anggaran keuntungan kasar untuk 50 unit rumah boleh beli 2 buah BMW 525 secasra tunai. Apa-apa pun, macam-macam boleh jadi. Doakan kejayaan saya.

Sebenarnya sebelum dapat projek saya danh berangan nak beli moto superbike. Tapi tinggal angan-angan je. Nampaknya angan-angan boleh jadi kenyataan. Saya ada 2 model yang saya minat. Suzuku bandit 1250 dan Suzuki GSX650F. Kedua-duanya ada kelebihan.






Suzuki Bandit 1250 - cc besar, tapi sayangnya tak full fairing


Suzuki GSX650F - cc kecil, tapi full fairing.

Kedua-dua model ini menggunakan frame yang sama, top speed yang sama 200 km/h.

Apa comment pembaca, yang mana nak pilih?

Saturday, August 20, 2011

SELAMAT BERPUASA

20/8 - Kesempatan ini saya ambil untuk mengucapkan SELAMAT BERPUASA kepada semua pengikut blog yang beragama Islam. Saya mohon ampun dan maaf jika ada sebarang penulisan yang tidak tepat sebelum ini. Segala kesilapan adalah kelemahan saya.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menyambut HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua pengikut yang beragama Islam. Jika memandu pulang ke kampung halaman masing-masing, berhati-hati di jalanraya dan jangan terburu-buru. Kalau apa-apa terjadi, siapa lah yang nak jaga ayam direban itu nanti. Takut ayam tu nanti jadi 'yatim piatu'. Terkurung serta kelaparan pulak ayam-ayam tu......

Semuga anda semua terus berjaya didalam bidang penternakan ayam kampong samada secara serius atau sambilan. Jika anda gigih berusaha, sabar menghadapi dugaan, mendalamkan ilmu pengetahuan, tekad untuk berjaya, Insyaallah anda akan berjaya.

Perkhabaran terkini tentang ternakan ayam di AAF. Ayam dah banyak direban dan dirumah. Ayam direban sedang membesar, riuh rendah dan bersimpang siur menyambut kedatangan saya semasa hantar makanan. Yang menariknya, peraih Cina dah intai-intai reban saya. Dia tengok ayam masih kecil-kecil lagi. Sebelum beredar, dia sempat tinggalkan pesan, 'kalau sudah besat, jangan jual sama orang lain, jual sama gua' kata Apek tu. Itulah hakikat sebenar keisitimewaan ayam kampong ori, 'tak perlu ke pasar untuk jual ayam, pasar yang datang ke reban beli ayam'. Harga pula sangat baik, berbaloi, walaupun diternak dalam masa yang agak panjang. Penternak kena bijak dan kreatif untuk meringankan kos makanan. Tapi kalau ayam banyak peringkat-peringkat, tak jadi masalah untuk menjana pendapatan tetap. Tapi, modal memang kena kuat, pelaburannya tinggi, risiko juga tinggi. Tapi memang berbaloi.

Jika tiada aral melintang dimasa hadapan, saya bercadang untuk membesarkan projek ini dengan menambah reban-reban baru disekeliling kebun sawit untuk generasi ayam yang akan datang. Tanah juga telah ditambak secara perlahan-lahan mengikut keadaan kewangan. Saya dah yakin, projek ayam kampong memang ada potensi jika diusahakan secara serius didalam skala kecil, sederhana atau besar. Permintaannya memang tinggi dengan harga yang tinggi. Kita yang menetapkan harga jualan direban, bukan peraih.

Untuk perkembangan perniagaan atap lalang dan atap nipah, bisnes dibulan puasa memang bagus. Ramai yang beli atap nipah untuk buat 'prop', terutamanya disekitar Lembah Klang, sampai hantar ke Johor Bahru pun ada. Mereka sanggup bayar tambang Ford Ranger saya sebanyak RM700, pada hal harga atap cuma RM 200. Untuk Lembah Klang, saya kenakan tambang RM100 walaupun hantar atap 10 keping je. Jika tiada aral, saya akan membekal atap lalang serta mengambil upah pasang di projek Morib Goldcoast untuk 3 buah rumah banglo dan 2 buah chalet. Projek akan bermula pada bulan November. Sebanyak 3 buah kontena 40' Jumbo akan dibawa masuk dari Indonesia. Keuntungan agak lumayan. Jika diizinkan, keuntungan dari projek ini akan digunakan sebahagiannya untuk membesarkan projek ayam kampong. Sebagai makluman, kita kena banyak menceburkan diri didalam pelbagai bidang perniagaan. Keuntungan dari perniagaan lain boleh membantu modal perniagaan lain. Cuba-cubalah mempelbagaikan perniagaan/pertanian. Insyaallah, kita boleh hidup dengan perniagaan/pertanian.

'Sesekali ku rasa teringin, nak memiliki motor kuasa besar'. Asyik berangan-angan je, sehinggakan semua desktop komputer dirumah dan ofis letak gambar motor SUZUKI BANDIT1250. Harganya emmmm...RM55,800.00 otr. Inilah motor kuasa besar paling murah on the road.

Ini gambar motor tu..jenis touring. Top speed tak laju...200 km/h je. Kena 'cut' eletcronic nya untuk keselamatan pemandu. Cantik kan? Bunyi ekzosnya vrummmm. Superb.



Wassalam.

Thursday, June 30, 2011

PERKEMBANGAN TERKINI AAF

31/6/2011 - Salam kepada semua. Lama betul tak menulis di blog ini. Tetapi saya tetap membuka nya untuk melihat perkembangan semasa rakan-rakan ternak yang lain.

Sebenarnya, kesan sampar yang menimpa penternak pada tahun lepas memang memberi kesan yang amat besar kepada penternak kecil-kecilan macam saya ni. Masih ramai lagi rakan ternak yang otai-otai kat kampong saya masih belum bangkit kembali. Ada yang diserang semula. Cemas juga saya. Tetapi saya tak boleh mundur, terpaksa maju kehadapan, Nasib lah, jika kena lagi, saya terpaksa tutup reban dan mengundur diri untuk selama-lamanya.

Hanya selepas 8 bulan, barulah terasa kembali bertenaga dan aktif untuk menternak. Bagi diri saya, keadaan sudah kembali normal. Ayam-ayam yang dah besar telah dijual dengan harga yang memuaskan, RM15 sekilo. Kira 'not bad' harganya kerana peraih datang dan tangkap sendiri direban. Saya jual kebanyakan jantan-jantan yang jahat-jahat tu. Tinggalkan beberapa ekor penjantan dan semua yang betina tak jual langsung. Keadaan reban kembali tenang, ibu-ibu ayam kelihatan aman dan tidak berlaku kecederaan atau kematian ibu-ibu ayam akibat di'kerja'kan oleh jantan-jantan tu.

Ibu-ibu ayam telah bertelur dengan rancak. Saya tidak lagi mengutip telor-telor pada setiap hari seperti dulu. Kini saya mengutip telor setiap 3-4 hari sekali. Tetapi telor yang dikutip terus masuk ke incubator kerana dikhuatiri ada yang sudah dieram. Anak-anak ayam pun dah ada hampir 200 ekor pelbagai umor. Incubator pertama dah penoh, dan sebentar tadi servis incubator kedua sebagai persediaan untuk kutipan akan datang. Broder dirumah dah 2 buah penuh. Anak-anak ayam dah mula turun tanah sekitar 60 ekor dan dalam keadaan yang baik serta sudah belajar makan campor nasi dan dedak.

Selepas diserang sampar, saya mengambil tindakan yang drastik. Saya tidak lagi melakukan apa yang saya amalkan sebelum ini. Saya ingin mencuba menternak ayam secara kampong asli. Antaranya adalah:
a) Telor-telor tidak lagi dibersihkan, hanya sekadar mengikis kotoran yang besar saja.
b) Telor tidak digolek 2-3 kali sehari. Golek bila terkenang nak golek je.
c) Tiada vitamin diberi kepada anak-anak ayam yang dalam broder atau reban asuh.
d) Tiada vitamin dan antibiotik diberi kepada anak-anak yang dah besar dan induk-induk direban.

Pengalaman menternak sebelum serangan sampar amat berguna dan dijadikan panduan dan rujukan pada masa kini dan akan datang. Memang banyak pengalaman dilalui dan itulah sebenarnya ilmu yang berguna yang didapati melalui pengalaman. Saya tidak lagi akan teragak-agak untuk memusnahkan anak-anak ayam jika ada tanda-tanda murung. Saya akan membasmi kuman dengan segera jika petanda kemurungan berlaku pada mana-mana ayam direban.

Menurunkan anak-anak ayam ketanah juga telah dapat dilakukan dengan baik dimana anak-anak ayam yang telah benar-benar kuat saja diturunkan ketanah dan diasingkan secara berperingkat. Anak-anak ayam ini dikurung sekitar 4-5 hari untuk mendidiknya supaya kenal reban barunya dan dikurung sepenuhnya dan diberi makan dan minum secukupnya. Selepas itu, satu lubang kecil dibuat untuk anak-anak ayam ini keluar masuk rebannya tetapi tidak dapat dimasuki ayam yang lebih dewasa. Dengan cara ini, ayam-ayam dapat belajar meneroka persekitaran luar rebannya dan apabila diberi makan, ia akan masuk semula melalui lubang tersebut. Dengan cara ini, didapati anak-anak ayam tidak bersaing makan dengan ayam yang lebih dewasa. Setelah cukup besar, anak-anak ayam ini diperkenalkan dengan nasi putih lebihan kantin asrama. Makanan dedak hanya diberi sekali sehari. Dengan cara ini, semasa lapar ia akan makan apa yang terhidang dan belajar makan makanan lain.

Pemerhatian terkini mendapati, anak-anak ayam sudah mula keluar dari reban dan kawasan pagar reban dan mencari makanan sendiri dengan mengais tanah dan makan rumput. Saya yakin teknik penternakan yang diamalkan sekarang adalah berkesan dan boleh diteruskan. Inilah yang dikatakan pengalaman, dan ia memelukan masa yang panjang.

Kutipan telor untuk 4 hari semakin meningkat dari 30 biji pada 2 bulan lepas, kini telah mencecah 60 biji. Hari ini ada rekod baru, dimana kutipan untuk tempoh yang sama adalah 92 butir. Ditambah dengan telor dijumpai didalam semak sebanyak 25 biji.

Pemerhatian Terkini
a) Peratusan penetasan berubah-ubah. 70%-90%.
b) Peratusan telor berbenih juga sangat tinggi.
c) Peratusan kematian diperingkat akhir penetasan berubah-ubah, penyebab pelbagai faktor.
d) Peratusan kematian anak-anak yang telah menetas teramat kecil, jarang sekali berlaku.
e) Peratusan kematian didalam broder juga amat kecil, jarang-jarang berlaku.
f) Peratusan kematian diperingkat asuhan tidak berlaku.
g) Kejadian kaki bengkok jarang sekali berlaku didalam setiap penetasan.
h) Tiada kejadian sakit mata sejak kembali aktif terutama dikawasan direban.
j) Tiada kematian diperingkat pembesaran di reban selepas turun tanah.
k) Kejadian telor dijangkiti bakteria amat kecil dan jarang berlaku.

Jika keadaan berterusan seperti sekarang, keadaan akan kembali ''on-track''. Banyak modal telah dikeluarkan dan saya anggap sebagai R&D. Pengalaman dilalui akan saya gunakan sebaik mungkin untuk meneruskan projek ini. Semuga Allah merestui projek penternakan ini.

BERITA DILUAR BIDANG PENTERNAKAN:

Ibu saya sedang sakit dan telah dimasukkan ke hospital sejak 2 minggu lalu. Saya mengambil cuti untuk menjaganya. 2 jari kaki kanannya terpaksa dipotong lagi selepas 2 jarinya dipotong pada bulan Januari lepas. Doktor kata, ulser diabetes menjadi sebabnya dimana luka yang lama tidak dapat dipulihkan sepenuhnya. Sekarang adik saya menjaganya pula sekembalinya dari Luxemberg untuk bercuti selama sebulan. Ibu kini dibawa ke hospital pakar Ampang untuk rawatan selanjutnya. Doakan semuga ibu saya kembali semboh.

Sekian untuk entry pada kali ini.