Friday, November 19, 2010

KEMBALI BERBLOGGER

Assalamualikum w.b.t.

Lama betul tak menulis. Kali terakhir adalah pada 30/10 apabila sampar mula menyerang reban saya. Hari ini baru ada kesenangan dan kelapangan untuk menulis setelah semua urusan penting dah selesai. Sejak dari serangan bermula, saya serahkan segalanya pada Allah untuk menentukan segalanya. Segala usaha telah saya lakukan untuk mencegah serangan sampar ini sejak dari mula lagi. Tetapi keadaan tidak dapat dikawal, serangan yang pertama kali menimpa reban dan ternakan seolah-olah seperti gelombang tsunami yang melanda pantai. Ayam hutan tidor atas pokok dan didalam reban atas berkurung pun tidak terkecuali. Apatah lagi anak-anak ayam kampong.

Sejak tanda-tanda sampar mula menyerang ternakan ayam laga dan ayam hutan anak tuan tanah, saya telah cuba menghalang serangan seterusnya dengan menyembur disinfectant dan memberi vaksin NCD. Selepas seminggu, barulah ada menunjukkan tanda-tanda serangan kedua apabila induk-induk betina seekor demi seekor tumbang. Serangan kedua hanya menyerang induk-induk sahaja. Hari demi hari, induk pun habis tewas disertai dengan serangan berikutnya pada anak-anak ayam fasa 1 yang telah hampir sekilo beratnya yang hidup bebas. Diikuti dengan serangan terhadap anak-anak ayam yang didalam reban berkurung. Seterusnya serangan terhadap anak-anak ayam fasa 2, 3,4 dan seterusnya.

Setiap hari seguni bekas makanan ayam, saya pungut anak ayam mati. Ada yang dibuang didalam sungai, dan ada juga yang ditanam. Mana-mana anak ayam yang dah murung, saya tangkap dan sembelih untuk dibuang. Pada peringkat ini, saya dapati ada sekumpulan ayam yang bebas tidak menunjukkan kesan serangan. Mereka tetap ceria dan berlari-lari. Saya mengharap anak-anak ayam bersama kumpulan anak-anak ayam yang berada didalam 4 reban asuh akhir bakal mengekalkan keriuhan direban apabila serangan sampar berlalu. Sangkaan saya meleset sama sekali, apabila ayam yang bebas mula termenung seekor demi seekor dan akhirnya mati atau saya sembelih. Sekali lagi saya menaruh harapan, semuga anak-anak ayam yang berada didalam kurungan didalam reban asuh akhir ini dapat menyambung warisan ibu-ibu mereka. Setelah 2 minggu serangan, akhirnya ada tanda-tanda anak ayam ini diserang sampar. Terdapat 4 reban asuh akhir belbagai peringkat umur. Serangan bermula dari anak yang paling muda seterusnya mengikut seniority. Lama-lama, saya terima sajalah kehendak alam. Saya redha dengan kejadian ini dan menganggap sebagai dugaan pertama dalam bidang yang baru saya ceburi. Akhirnya, baki ayam yang tinggal hanyalah 4 ekor induk betina yang sedang mengeram. Ia selamat mungkin kerana tidak turun ketanah sepanjang serangan itu.

Untuk meredakan perasaan, saya pun meninjau rakan-rakan ternak berhampiran yang saya kenali. Rata-rata mereka yang menternak secara agak besar-besaran semuanya habis mati ternakan mereka, walaupun yang tengah mengeram. Pak Cik tu kata, sepanjang dia menternak, tak pernah kena serangan sampar. Inilah kali pertama serangan menimpa rebannya. Tetapi ada juga yang menternak kecil-kecilan juga terkena habis. Saya tinjau lagi, terdapat juga penternak yang selamat dari serangan. Rupa-rupanya, serangan bermula dari kawasan Sijangkang, Batu 9 dan Pulau Carey. Angin laut yang membawa virus kearah reban saya serta semua reban-reban didalam laluannya. Saya tak mampu mengelak.

Mujurlah ada baki telor dan anak-anak ayam yang masih kecil yang ada dirumah. Pada ketika ini, ada sejumlah hampir 400 anak yang masih sihat terselamat. Inilah rupa-rupanya baki warisan untuk saya menyambung aktiviti ternakan saya. Ada yang dah besar, sepatutnya dah pindah, tetapi saya tangguhkan sehingga keadaan benar-benar selamat. Walaupun reban agak kecil, saya biarkan dulu.

Keadaan tidak menentu. Ada yang kata serangan ini belum reda lagi. Ada penternak diserang sehingga 2 atau 3 kali. tak tahu nak ramal keadaan. harap-harap ia dah benar-benar reda. Anak tuan tanah sudah memasukkan induk ayam laga kedalam rebannya. Jika ia dapat bertahan untuk seminggu dua ni, barulah saya yakin keadaan dan benar-benar pulih. Saya akan membasmi kuman direban pada hujung minggu ini. Dan saya akan pindahkan anak ayam yang dah besar secara berperingkat-peringkat.

Bila saya datang melawat reban sekarang ni, terasa sangat sunyi. Terkenang suatu ketika disaat anak-anak dan induk begitu riuh dan berlari datang menghampiri saya apabila membawa makanan. Memang saat yang amat menyeronokkan. Insyaalah, saya akan terus menternak. Yang jadi masalah sekarang, walaupun saya ada modal, tetapi masalahnya sekarang, mana nak cari dan beli induk baru. Bila dah takde induk, incubator rehat panjanglah nampaknya sehinggalah dapat induk. Tak tahu bila agaknya. Pembekal utama saya, Ayam Opah pun takde bekalan macam dulu-dulu. Dia pun merangkak juga nak cari induk. Nak tunggu anak-anak ayam yan ada membesar, dah tentu kena tunggu lagi 6 bulan untuk mula bertelor agaknya...itu pun tak tentu agaknya. Anyway, saya dah ada aset reban, jika ada induk pada masa akan datang, cuma tinggal beli je. Tak perlu nak bertukang lagi macam dulu-dulu..itu lah senangnya pulak.

Walaupun ternakan saya tewas, Allah murahkan rezeki saya disuatu sudut yang lain. Saya mendapat banyak tempahan atap lalang Bali dihujung tahun ini. Jika ada rezeki, mungkin saya akan impot 3 kontena sehingga awal Januari tahun depan secara berperingkat. Saya juga telah dinaikkan pangkat lagi . Itulah agaknya rezeki dan dugaan Allah.

Sekian perkembangan terkini Anggerik Agro Farm. Semuga ketemu lagi..

Insyallah.

MOHON KLIK WEBSITE YANG BERIKUT BAGI MEMBANTU SAYA MENAIKKAN RATING WEBSITE UNTUK MEMBANTU PERNIAGAAN SAYA SEKARANG. TERIMA KASIH

Pembekal Kayu Bakau : http://pembekal-kayu-bakau.com 

                                     : http://pembekal-kayu-bakau.blogspot.com

Pembekal Atap Nipah : http://pembekal-atap-nipah.blogspot.com

Pembekal Atap Lalang: http://alangalangmalaysia.com

Pakej Kanopy/Katering/Perkahwinan Ala Kampong: http://kahwin-kampung.blogspot.com

No comments:

Post a Comment